Pengikut

Jumaat, 29 Mac 2013

TEATER TEPUK AMAI-AMAI KEMBALIKAN NOSTALGIA






MELAKA, BUKIT SEBUKOR – Satu pementasan teater bersempena dengan penilaian tahun akhir bagi pelajar yang mengambil Diploma Teknologi Seni Teater telah berlangsung dengan jayanya pada 21 hingga 23 Mac yang lepas. Persembahan teater yang bertajuk Tepuk Amai-Amai ini diarahkan sepenuhnya oleh Ahmad Hanif Husaini selaku pelajar dinilai.


Projek pementasan ini dianjurkan oleh Jabatan Seni Teater, Sekolah Teknologi Media dan Seni (SMART), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka yang menjadi projek wajib kepada pelajar untuk penganugerahan diploma kepada mereka. Pelajar diberi pilihan untuk dinilai dalam beberapa pengkhususan seperti pengarahan, sinografi, lakonan atau pengurusan. Pemantauan oleh pensyarah dilakukan secara berkala bermula dari pemilihan skrip, sesi latihan sehinggalah ke hari pementasan.

Pementasan yang berlangsung selama tiga hari ini mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka dan peminat teater sekitar negeri Melaka. Malahan ada juga penonton yang hadir dari luar kawasann Melaka. Rata-rata penonton berpuasa hati dengan persembahan yang dipersembahkan memandangkan kekurangan program teater sebegini diadakan di Melaka sejak akhir-akhir ini.

Teater yang ditulis oleh Khairunazwan Rodzy ini mengisahkan tentang sekumpulan pelajar di sebuah sekolah. Tersepit di dalam kehidupan sebagai seorang pelajar yang terpaksa berhadapan dengan konflik-konflik dalam hidup masing-masing. Mereka cuba untuk keluar dari belengu yang mereka cipta sendiri hingga menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. Dalam cerita ini juga diselitkan dengan sikap masyarakat sekeliling terutamanya ibu bapa yang terlalu inginkan anak mereka mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran. Sesiapa yang menonton teater ini pasti akan terkenangkan kembali kisah di bangku sekolah dahulu.

Menggunakan prop dan set yang minima menjadikan teater ini mudah difahami. Dengan latar belakang dalam sebuah bilik darjah, papan hitam yang diconteng dan 6 buah kerusi diletakkan di atas pentas. Babak-babak dipecahkan kepada beberapa bahagian seperti bilik darjah, bilik mesyuarat dan ruang luar bilik darjah. Kerusi yang digunakan disusun mengikut susun atur dalam bilik darjah atau bilik mesyuarat menampakkan lagi tentang ruang kepada penonton.


Pada malam terakhir diadakan sesi penilaian dengan menjemput bebepa orang panel penilai jemputan yang terdiri dari penggiat teater dan pekerja teater professional. Tujuan penilaian ini adalah untuk menilai sejauh mana keupayaan pelajar dalam mementaskan sesebuah pementasan. Selain itu ianya bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta komen bagi memperbaiki mutu persembahan di masa akan datang.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...