Pengikut

Sabtu, 13 Februari 2010

GUNA APA YANG ADA


Berteater di kalangan amatur memang seronok. Ini menjadikan kita lebih kreatif. Kreatif untuk menjadikan sesuatu lebih menarik walhal bajet adalah kosong. Kita akan menggunakan apa yang ada di sekeliling. Pada saat inilah teori kitar semula digunapakai.

10 Februari yang lepas aku baru selesai mengajar anak muridku bertatih. Rupanya susah juga untuk mengajar bertatih walaupun dah biasa merangkak. Itulah, disebabkan dah biasa dengan merangkak, adakalanya mereka selesa dengan keadaan itu. Apapun tahniah kepada anak muridku yang diketuai oleh Pak Man dan Chichi kerana berjaya mementaskan teater kecil iaitu Mimpi Aduka dan Dunia adalah Sebiji Epal.

Mimpi Aduka arahan Pak Man adalah satu naskah yang agak berat. Berat dari segi dialog seakan zaman sandiwara dan mempunyai maksud yang kabur. Segaja aku tidak menghalang Pak Man yang dari awalnya memang beria-ia untuk mementaskan naskah tulisan arwah ibunya itu.

Manakala Chichi pula yang mengarahkan Dunia Adalah Sebiji Epal sempena penilaian untuk kelas pengarahan beliau. Naskah ini agak ringan berbanding naskah Mimpi Aduka. Naskah ini aku ambil dari koleksi yang ditukar bahasa dari Bahasa Philipine oleh Roselina Khir ke Bahasa Melayu. Tentang kepincangan masyarakat setinggan yang terpaksa berkerja keras untuk hidup. Naskah asal Albert Florentino ini menyindir masyarakat sekeliling yang taksub dengan taraf melalui perlambangan sebiji epal yang boleh dimakan oleh golongan tertentu sahaja.



SET

Kedua-dua naskah ini menggunakan set yang sama. Cuma ada sedikit penambahan dan pengurangan kepada hal-hal yang kecil. Pementasan yang dilakukan di ruangan kecil seperti black box ini membantaskan kerja-kerja pertukaran set. Jadi aku cadangkan mereka menggunkan set yang sama. Untuk membezakan keduanya adalah melalui lakonan dan pencahayaan.

Keseronokan terserlah apabila aku dapat membuktikan kepada pelajar aku bahawa kita mampu mementaskan teater dengan bajet KOSONG. Ini kerana pada awalnya, mereka agak tertekan kerana tidak ada pembiayaan dari mana-mana pihak walhalpun dari kocek sendiri. Aku turut sama mengerjakan pembinaan set dengan mereka padahal Sabtu dan Ahad merupakan hari cutiku. Demi teater.

Nasib agak baik, kerana ada beberapa barang yang lalu masih tersimpan. Cat lama masih boleh diguna pakai. Pakai yang lebih masih ada. Ini yang dikerjakan. Separuh set Gejolak yang akan dibawa ke Kl pada 1 dan 2 Mei nanti, digunakan separuh untuk show ini. aku korbankan tikar getah Gejolak untuk mencantikkan set teater kecil ini.


LAKONAN.


Tidak mengecewakan. Mereka boleh berlakon. Namun pengalaman permainan pentas harus dijinakkan. Mereka harus lebih gigih untuk menambahkan pengalaman. Rafiq, Bella, Nurain dan Ziyad menjadikan pementasan ini adalah lakonan yang pertama bagi mereka. Kegigihan berlatih tanpa henti sepanjang 3 minggu adalah sesuatu di luar jangkaan ramai. Kalau di beri peluang masa yang lebih, aku yakin, mereka lagi baik. Nampak semangat yang tinggi dalam diri mereka. Banyak yang mereka belajar dalam melalui pementasan pertama ini.

Affan dan Lan yang sudah beberapa kali berlakon juga tidak menghampakan. Namun adakalanya mereka masih terikut dan watak yang lalu. Percubaan berani Affan untuk membawakan watak Mozack adalah sesuatu yang membanggakan. Dengan bahasa seakan puisi, Affan berjaya memainkan dialog dengan diksi yang tidak menjemukan. Lan membawakan watak MArio, iaitu seorang lelaki yang terhimpit dengan keadaan sekeliling. Monolog yang dibawa, digayakan secara matang. Bertenaga dan masih boleh dibaiki.

PENGARAHAN


Ada sesuatu yang ingin diluahkan oleh Pak Man. Pelajar aku yang lebih berusia dari aku. Semangatnya harus aku puji. Kesungguhan untuk mementaskan naskah arwah ibunya dapat aku lihat sejak hari pertama ditunjukkan naskah itu kepada aku. Dengan membawakan konsep surealisme yang pada pandangan aku agak kabur, mungkin boleh diperbaiki di masa hadapan. Menggunakan image bayangan kelir Mozack adalah satu kelainan yang dipersembahkan berbanding Dunia Sebiji Epal. Kesugguhan Pak Man juga terpancar apabila terpaksa mentatihkan Rafiq sebagai Aduka dan Arain sebagai Ibu untuk berlakon buat pertama kalinya. Bukan itu sahaja, Pak Man menyiapkan poster, tag, pamplet dan buku programnya sendiri. Lebih lima kali aku me'reject'nya kerana tidak bersetuju dengan beberapa rekaannya. Seperti biasa, Pak Man kental.

Chichi bertuah mendapat skrip yang agak senang berbanding Pak Man. Chichi seorang yang bekerja secara selesa. Ada sesuatu yang harus aku bantunya. Bekerja keras pada awalnya, namun mudah terpengaruh dengan masalah. Mendapat pelakon yang mampu melontarkan dialog dengan baik menjadi satu kelebihan buat Chichi. Adakala ketenangannya boleh memakan diri. Awas di lain masa nanti. Harus beringat dan kuat semangat. Chichi menambahkan monolog Mario di penghujung cerita Dunia Sebiji epal. Tindakan bijak untuk mencantikkan persembahan. Harus dipuji.


KESIMPULAN

Di lain masa, aku ingin sekali untuk melihat pelajar aku mengerjakan teater dengan 100% tanpa bantuan aku. Sudah banyak pengalaman aku lontarkan kepada mereka. Bukan untuk aku goyang kaki, cuma mahu melihat anak muridku boleh berdikari. Supaya dimasa lain nanti, dapat kita mengadakan persembahan di tempat yang lagi besar.

Kerjasama kumpulan juga harus dikekalkan. Masalah kecil harus diselesaikan secara kecil supaya tidak merebak menjadi besar. Banyak lagi masalah besar di luar sana yang harus kita tempuhi.

Terima kasih kepada rakan-rakan pensyarah yang datang menonton dan sentiasa support kepada persembahan yang kami adakan. Terima kasih juga kerana anda dapat membezakan antara tarian dan teater. Kepada ahli kelab dan pelajar yang menonton, ucapan terima kasih daun keladi kami hulurkan. Kehadiran anda memenuhi ruang studio sehingga memaksa kami menambahkan kerusi result kami juga adalah sesuatu diluar jangkaan kami. Terima kasih kami ucapkan. Walaupun kita berbeza idea dan pendapat, kita harus bersama sebenarnya. Jangan jadi seperti sesetengah orang yang hanya tahu menuding jari tanpa memberi salam. Kita di tempat kecil. Tapi bukan ambil kesempatan untuk perkecilkan kami.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...