Pengikut

Rabu, 25 Januari 2012

TAHNIAH UNTUK KAMU DAN DIA....

Perkataan ini dikitar semula semasa perjalanan balik ke Melaka semalam. Tahniah. Mudah untuk diucapkan. Berharga bagi yang menghargainya. Murah bagi yang tidak ada rasa. Apapun pada aku ucapan tahniah bermkna kita berbangga dengan segala perubahan yang berlaku. Perubahan adakalanya dari buruk ke baik. Namun ada juga dari baik ke buruk. Biasanya ucapan tahniah tidak diucapkan kepada sesuatu yang baik ke buruk.

Ada beberapa ucapan tahniah untuk aku sampaikan kepada penerimanya. Tapi untuk dicoretkan di sini kesemuanya, tak mampu rasanya. Setakat yang aku mampu taip sahaja. Tahniah sekali lagi.

TAHNIAH UNTUK 'AKU MANUSIA BERDOSA'.

Pada hari jumaat yang lepas aku berjaya menjejakkan kakiku buat kali kedua dalam tempoh dua bulan untuk dua persembahan yang berlainan. Yang lepas aku berjaya menyaksikan persembahan 1 Plastik Hitam. Kali ini untuk Aku Manusia Berdosa. Di tempat yang sama. Stor Teater DBP. Tempat yang aku dapat rasakan aura berbeza berbanding tempat lain. Di tengah antara keduanya aku ada menyaksikan teater Amuk Anak Zapin. Persembahan ni berlangsung di Panggung Eksperimen di UM. Aku ada buat review. Tapi terpaksa dipendam. Takut ayat aku tak sesuai. Mungkin boleh mengguriskan mana-mana pihak. Ada orang kata post je lah. Untuk pembelajaran. Tapi aku ambil keputusan untuk arkibkan sahaja. Biarlah jadi pedoman untuk aku seorang.

Aku Manusia Berdosa. Jelas mengangkat wanita. Isu wanita diangkat berulang-ulang. Kehebatan wanita diangkat. Wanita diperdaya. Wanita marahkan lelaki. Wanita bangkit. Aku tak nak ulas pasal skrip, sebab mungkin ada beberapa hal yang aku tak pandai nak ulas. Ada perjuangan yang nak disampaikan. Tapi mungkin berat sebelah. Jangan tanya aku apa yang berat sebelah. Aku tak ada jawapan. Aku cuma ada penyataan. Ada suara yang nak disampaikan dalam naskah ini. Suara ini mungkin tak akan keluar andaikata acuan lain digunakan. Jadi landasan acuan teater adalah salah satu acuan terbaik untuk menyuarakan sebarang bentuk rasa di saat cuaca semasa Malaysia.

Berpatah balik ke awal perjalanan. Aku bertolak dari Melaka seawal jam 5 petang. Menaiki motor buat kali keduanya atas semangat untuk menonton teater di stor DBP. Kali pertama untuk 1 plastik Hitam. Ada kepuasan tersendiri apabila aku dan beberapa rakan yang lain mengerah tenaga untuk ke sana menaiki motorsikal bagi menyaksikan persembahan teater. Dalam keadaaan hujan yang sekejap ada dan sekejap tak ada, kami tempuh jua. Sampai di sempadan KL, hujan makin lebat. Kami teruskan.

Sampai di ruang menunggu stor DBP, sudah ada 5 ahli keluarga KYM yang dah berteleku di situ. Kalau dihitung kesemuanya ( motor 7 orang + kereta 5 orang + kereta lain 4 orang + naik bas tak sampai-sampai 2 orang + kawan hantar tak sampai-sampai 1 orang) = 15 orang yang masuk ke dalam. Tiket berharga RM20 untuk pelajar. Rm30 untuk dewasa.

Persembahan bermula.

MC...Aku suka dengan isi pengucapan MC yang simple dan terus kepada persembahan. Tak lebih-lebih. Aku suka bukan kerana yang si MC tu adalah anak murid aku yang praktikal kat situ. Tapi kerana isinya. Tak over macam MC anugerah bintang popular ke apa. Sepatutnya pementasan yang lain juga sebegitu. Tak perlu berjelela-jela untuk baca sinopis apa bagai. Mengingatkan penonton satu persatu seakan-akan penonton ini anak-anak kecil. Yang tak boleh tahan ada teater yang ada ucapan perasmian sebelumnya. Ini yang lagi syahdu. Tapi ini berlaku di Melaka. Tempat lain belum jumpa lagi. Bukan nak mengutuk tapi mungkin ini budaya dan tatacara yang ditatihkan di sini. Kedatangan aku ke Melaka, telah mengenepikan semua tu. Bukan tak nak ikut ada resam. Tapi tak nak pelakon atau penonton berubah angin setelah mendengar ucapan di acara persembahan teater. Kalau dah jemput YB untuk rasmikan majlis, kalian kena memahami yang YB adalah orang Yang Bercakap. Jadi, percakapannya akan panjang. Kalau Yb baca ayat aku ni, gerenti YB tarik balik penajaannya untuk show bulan april nanti. Tak semua YB banyak cakap. Ada YB yang diam jer. YB yang nak taja tu nanti baik orangnya. Pemurah bukan murah.

Persembahan di bawah tajuk besar Aku Manusia Berdosa terbahagi kepada dua. Persembahan pertama adalah menggunakan tajuk Kampung chetek.Kalau dirungkai tentang tajuk sudah pun tentang sebuah masyarakat di Kampung. Ditambah lagi perkataan 'Chetek' menambahkan lagi maksud yang cuba nak disampaikan. Ini sudah menggambarkan taraf masyarakat yang ada dalam naskah ini. Perbandingan masyarakat bandar dan kampung disimbolkan melalui dua perkataan ini. Dalam kepala kita bila disebut kampung, akan terbayang banyak kekurangan, daif dan juga pembangunan yang tidak sehebat bandar. chetek pula merupakan kata nama kepada sesuatu tempat. tapi jika kita masuk lagi ke dalam, Chetek ini merupakan satu sebutan perkataan cetek yang digunakan sekarang. Sebutan cetek dalam Bahasa Melayu lama di panggil Chetek iaitu dengan ditambah 'H'. Macam cikgu bahasa la pulak ya.

Jadi aku cuba berkongsi maksud 'cetek ini menurut KAMUS DEWAN EDISI KE EMPAT.......... 1. tidak dalam (bkn sungai dll), tohor, cangkat, dangkal: binatang ini hidup di air yg ~ dekat pantai; 2. tidak dalam atau tidak tinggi (bkn ilmu pengetahuan), dangkal: pengetahuannya tentang perkara itu amat ~; dalam menyelam ~ bertimba prb hasil yg sedikit itu digunakan dgn berpada-pada; mencetekkan menjadikan cetek, menohorkan, mendangkalkan, mencangkatkan: ~ sungai; kecetekan 1. perihal (keadaan) cetek (bkn sungai, telaga, dsb), ketohoran, kedangkalan, kecangkatan; 2. perihal cetek (pengetahuan), kedangkalan: ~ pengetahuannya jelas pd hujah-hujahnya.

Maaf sebab aku tiba-tiba rajin pulak nak kaji lebih-lebih.

Kita teruskan pasal persembahan. Persembahan Kampung Chetek ini didokong oleh pelakon yang diberi nama Dira Abu Zahar. Pelakon yang juga popular sebagai pengacara Melodi. Dira membawa 6 watak serentak dalam satu persembahan monolog. Emmmm...6 tu. Enam. Nam. Enam. E.N.A.M. Banyak tu. Perkataan pertama yang keluar dari benak otak adalah wowwww...dan syabas serta TAHNIAH. Bukan senang nak bawak enam watak dalam satu persembahan. Teater pulak tu. Kalau drama tv boleh la dikatakan melalui proses editing. Tapi kalau persembahan teater, ada masa ker nak edit. Persembahan secara terus 'live' depan penonton.

Maaf sebab aku tak dapat nak ikut secara sepenuhnya tentang monolog ini. Ada beberapa hal seakan menolak untuk aku terus mengikuti. Aku tak pasti kenapa.Mungkin sebab kepenatan memandu kapcai dari Melaka ke KL. Semasa persembahan berlangsung juga aku masih sempat update status fb. Bukan nak memburukkan, cuma nak mengingatkan aku tentang apa yang aku nak ulas nanti. Huhu..


Namun, banyak benda yang menarik yang aku nak kongsikan untuk persembahan pertama ini. Aku suka penggunaan set yang simple. Tak membebankan untuk penonton membuat gambaran atau tafsiran bahawa ini adalah sebuah rumah yang besar atau rumah yang cantik atau sebuah bangunan 30 tingkat. Penggunaan kotak yang simple dan menarik walaupun penggunaan set sebegini pernah aku tonotn dalam teater lain sebelum ini. Malah teater yang pernah aku bikin dulu pernah menggunakan 'kotak' atau empat segi.

Kotak atau empat segi dapat memberi 'simbol' ganti kepada banyak perkara. Ayat klise yang biasa akan dikeluarkan oleh pengarah atau sinografer ialah melambangkan kehidupan atau pemikiran manusia yang berada dalam kota. maksunya pemikiran yang sempit atau pemikiran yang berada di sekitar itu juga. Maksud itu juga yang aku gunakan untuk teater Gejolak, Nur, Salah Siapa dan Melati Melur. Maksud itu juga yang aku nyatakan kepada pelajar di kelas.

Bukan soal empat segi itu boleh dilambangkan kehidupan yang nak aku sampaikan, tapi hal yang lain. Teknikal penggunaan set itu sendiri yang menarik. Pelakon akan bergerak di bawah set yang di tengahnya ada terowong. Bila keluar dari mana-mana bahagian, maka akan bertukarlah pelakon itu menjadi watak lain. Sangat menarik teknik ini. Di atas kotak yang tengah diletakkan sebuah mesin taip. Cantik. Mesin taip melambangkan kehidupan yang terus berjalan. Akan ada catatan setiap masa dan detik. Akan ada tutur bicara yang dirakamkan melalui punat mesin taip itu. Kalau tidak betah menggunakan mesin taip itu, maka akan terperosok jari di celah-celah bebutang huruf itu. Begitu juga dengan kehidupan ini, jika tersalah dari landasan, maka akan kelirulah yang mendengarnya. Andaikata ada terdapat kesalahan ejaan, maka huruf atau perkataan yang salah itu tak mampu di buang seperti di kala aku menaip post di blog ini.Mesin taip menjadi senjata utama kepada penulis, para pekerja pejabat, atau kepada yang ingin menghantar surat kepada yang tersayang semasa zaman sebelum kehadiran komputer. Malahan di rumah aku masih tersimpan mesin taip lama yang pernah dirosakkan oleh aku ketika bapak aku menyiapkan kerja opisnya.

Cantik perletakan mesin taip di tengah kotak yang aku anggap di bahagian tengah pentas. Tapi sayang, tidak banyak yang dimanfaatkan untuk menaikkan simbol mesin taip itu. Lebih banyak kepada perhiasan di atas platform. Ada digunakan pada permulaan cerita, namun beberapa gesture yang harus ditimbulkan tidak dikeluarkan. Mungkin idea kreatifnya belum sampai kerana lebih ditumpukan untuk menghidupkan 6 watak itu.

Monolog adalah satu bentuk.......

Nanti aku sambung lagi. Aku lapar. Aku nak makan nasik. seharian aku memandu motorsikal semalam dan seharian aku tak ke tempat kerja hari ini. Mengadap komputer ni dari jam 6 pagi tadi lagi dengan melihat segala macam rencah manusia dalam skrin bercahaya ni. JAdi aku harus beredar untuk melampiaskan perutku dengan sekepal nasik.

* sebelum tu, aku mohon jangan buat tafsiran lagi tentang apa yang aku ceritakan di atas tu, kerana masih ada 80 % lagi yang aku nak tulis. kayuh pelan-pelan. Apa yang aku tulis hanya dari kaca mata aku. Sebab aku dah bayar harga tiket...huhu. Dan sebab ada orang suruh komen...uhukk..

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak best langsung monolog kau ni Malau

MALAU berkata...

AIKK..MONOLOG YG MANA LAK..BILA MASA BERMONOLOG..MALAU MEMANG TAK PANDAI MONOLOG..KALAU PANDAI DAH LAMA DAH MENANG ANUGERAH ITU INI.. DAH POPULAR SEANTERO BENUA AFRICA DAN BENUA KUTUB SELATAN...HUHU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...