Tak perlu rasanya untuk saya memberi penjelasan dalam sebuah pengenalan ini tentang maksud teater.Ini kerana saya pasti rakan yang ada di sekitar sudah mengetahuinya. Coretan ini juga mungkin tidak lengkap untuk dijadikan bahan akademik. Ini kerana tiada kajian yang teliti dilakukan mengikut acuan pembinaan sesebuah tesis. Sekadar pandangan penulis yang menjadi sebahagian warga teater Melaka sejak Januari 2009.
Mengikut penceritaan dari rakan-rakan yang pernah bekerja dengan saya dalam sesebuah produksi sejak Januari 2009, mereka mengatakan sejarah teater Melaka cukup hebat. Banyak persembahan yang diadakan saban bulan malahan saban minggu. Banyak juga penggiat teater popular yang berkumpul di sini. Begitu juga banyak kumpulan teater yang dibentuk untuk melakukan kegiatan teater. Antara nama-nama kumpulan teater yang selalu meniti di bibir penggiat teater sehingga kini ialah seperti Persatuan Kesenian Harmoni - HARMONI, G-TEAM (Group Teater Anak Melaka), PENAMA (Persatuan Penulis-penulis Melaka), Kumpulan Teater Sahabat Belia, Kumpulan Teater Pelajar MMU dan lain-lain kumpulan yang sudah tidak aktif lagi.
Dikatakan kumpulan terakhir yang aktif ialah Persatuan Kesenian Harmoni. Kumpulan ini tidak aktif lagi selepas kehilangan pengerusinya iaitu Allahyarham Mustafa bin Abu Bakar atau dikenali dengan Ucle Bob. Selepas itu, tidak ada lagi projek yang melibatkan kumpulan teater Melaka.
Ada satu lagi kumpulan yang dikenali dengan nama PENAMA atau nama panjangnya Persatuan Penulis Melaka. Kumpulan ini didokong oleh Datuk Othman Mohamad. Namun begitu, kumpulan ini bukanlah didaftarkan sepenuhnya sebagai kumpulan teater tetapi sebagai sebuah kumpulan dalam landasan sejarah dan Penulisan ( sumber : http://www.jkkn.gov.my/v2/ngo/melaka.pdf ). PENAMA juga dikatakan giat mengadakan persembahan teater pada masa dahulu dan pernah menjadi johan bagi negeri Melaka sempena Festival teater Peringkat Negeri Melaka.
Saya tiba di Melaka pada 13 Januari 2009. Kedatangan saya di sini adalah diperingkat 'nazak' teater di Melaka. Masih ingat lagi pada awal kedatangan ke sini, Sahabat Belia Melaka pernah mengadakan persembahan teater di Taman Budaya Melaka. Selepas itu, adanya festival Teater Peringkat Negeri Melaka yang mana kumpulan saya dari Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka ada menghantar 3 penyertaan untuk teater Kategori NGO dan Kategori Monolog. Kami menang bagi dua-dua kategori dan layak untuk buat persembahan di Kuala Lumpur sempena manifestasi teater yang menggantikan Festival Teater Malaysia.
Tamat sahaja festival teater tersebut, teater Melaka kembali suram. Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Melaka juga dilihat tidak memainkan peranan yang sewajarnya. Sayang sekali tempat yang gah dan mempunyai prasarana yang mencukupi tidak menjadi medan persembahan teater. Entah di mana silapnya sama ada di pihak jabatan sendiri mahupun kumpulan teater Melaka.
Beberapa kali diadakan diskusi yang akhirnya tamat sebagai diskusi pada hari tersebut sahaja. Bila dianjukan hal ini kepada pihak jabatan, yang diberitahu ialah soal bajet yang tidak ada. Bajet tidak dihantar oleh ibu pejabat di KL. Tepuk dada tanyalah mereka.
Atas dasar itu juga, saya mula membentuk sebuah kumpulan teater di bawah Jabatan Seni Teater, Sekolah Teknologi Media dan Seni (SMART), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka. Kumpulan ini diberi nama Aura Production dan kemudian didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama Aura Creative Production. Dengan kumpulan ini jugalah saya mula menggerakkan teater di dalam kampus malahan di luar negeri Melaka. Setiap semester diadakan persembahan teater yang mana menjemput penonton bukan sahaja dari kalangan pelajar KAYM untuk menonton. Dengan bantuan tidak berbelah bahagi dari pelajar KAYM sendiri, Aura Creative Production melebarkan sayapnya. Persembahan bukan sahaja dilakukan di Studio KAYM, malahan pernah mengadakan persembahan di Taman Budaya Negeri Sembilan, Taman Budaya Melaka, Taman Budaya KL dan di Kampus UiTM Alor Gajah.
Berbalik kepada perkembangan teater Melaka, dilihat masih lagi tidak ada inisiatif untuk berkembang dengan pesat seperti yang pernah digembar gemburkan pada dekad yang lepas.Ada juga beberapa kali institusi pengajian tinggu seperti Multimedia Universiti (MMU), UiTM dan UTeM mengadakan persembahan di Taman Budaya Melaka. Dengan persembahan itulah menampakkan Taman Budaya Melaka hidup.
Pada beberapa bulan yang lepas, saya ditawarkan untuk mengarah Teater Awang untuk mewakili Melaka bagi pertandingan Festival Teater Malaysia. Dalam proses latihan, berlaku beberap hal kecil yang mana agenda asal ditukarkan kepada persembahan sempena sambutan Melaka 750 tahun. Saya tidak mahu mengungkit dengan apa yang berlaku. Saya juga tidak mahu untuk menceritakan masalah yang wujud sepanjang proses latihan.
Tamat sahaja persembahan Teater Awang yang lepas, saya dapat simpulkan beberapa ayat untuk perkembangan teater di Melaka. Ayat yang paling mudah untuk dinyatakan di sini ialah 'oh, patutlah'. Jadi saya juga dapat meletakkan punca perkembangan teater di Melaka tidak sehebat dulu ialah di atas ........
Seorang tokoh teater Melaka yang masih ada dan aktif ialah Pak Mahmod Jelani. Pada suatu ketika dahulu dialah seorang pelakon TV, pelakon bangsawan, pengarah teater yang cukup hebat. Tapi sayang, situasi dahulu tidak sama dengan yang ada sekarang. jika ada masa nanti, saya akan bersembang panjang dengan dia tentang perkembangan teater Melaka. Saya juga ingin membuat kajian tentang beliau yang pernah menggadaikan segala harta benda untuk teater. Sayang untuk generasi muda sekarang jika tidak mengenali beliau.
Pada awal kedatangan saya di Melaka dulu, Pak Mahmood membantu kami untuk produksi kelas yang dijayakan. Dia sering datang ke KAYM yang dibawa bersama oleh Arwah Yalal Chin yang juga merupakan seorang tokoh teater yang aktif di Melaka suatu ketika dulu. sayangnya juga, Arwah yalal Chin pergi sebelum sempat ilmu teater dipelajari secara lebih drastik bersama beliau. Kami cuma sempat bekerjasama untuk beberapa bulan sahaja.
Pak Mahmood, satu-satunya tokoh teater yang saya kenal, yang tinggal di Melaka ni. Adakah kita mahu bintang ini hilang kerdipan tanpa mengaut sebanyak mungkin ilmu yang ada pada dia. Setiap kali mendekati beliau,banyak benda yang hendak diluahkan oleh beliau. Namun apalah daya saya yang kerdil ini untuk mebnatu dan mengubah apa yang sudah dan akan berlaku nanti. Saya cuma mapu membantu sekadar kemampuan sebagai penggiat teater yang masih mentah.
Namun jauh di sudut hati saya, saya nak memperkembangkan teater di Melaka sepertimana rakan-rakan ceritakan. Banyak benda yang boleh dicungkil di sini. Ini semua akan jadi mustahil kalau saya seorang yang menggerakkannya. Mungkin di peringkat KAYM saya mampu menjadikan realiti bersama pelajar saya, tapi di peringkat negeri Melaka akan mengambil masa. malahan kekuatan mantel dan fizikal diperlukan.
Banyak benda lagi yang nak ditulis tentang perkembangan teater di Melaka. Tentang sikap, peranan dan usaha 'orang teater' untuk terus maju. Jika ada seiapa yang berani untuk membuat satu kajian atau penulisan, saya sanggup bersama membantu demi menaikkan kembali teater Melaka yang agak suram.
Kepada kawan-kawan penggiat teater di Melaka, jangan putus asa. akan ada balasan yang setimpal dengan setiap usaha yang dilakukan. Asalkan di landasan yang betul. Jangan pudar semangat yang ada. Gabungan Anak Seni Teater (GaSTAM) yang kita bentuk mesti diteruskan walaupun tidak mendapat sokongan pihak yang sepatutnya. Tidak perlu projek besar, cukuplah dengan projek kecil yang selalu ada.
bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan