Dua hari yang lepas aku di Dungun Terengganu. Buat apa? Tengok ler banner kat atas ni. Aku ditugaskan sebagai Q-Master atau dengan bahasa lain, ASM (Assistant Stage Manager) semasa hari pelancaran. Pemergian aku ke sana atas nama carma dan jalan-jalan cari prempuan..eh..eh..tak leh, jalan-jalan cari pengalaman di tempat orang.
Jadi ASM untuk projek ni tak macam jadi Stage Manager kat tempat show teater. Projek kali ni lagi mencabar kejantanan dan ketangkasan aku. Aku kena kontrol 40 pelajar sekolah yang membawa panji, penari-penari DBKL, penari-penari Taman Budaya Dungun, Pasukan penguatkuasa Majlis Daerah Dungun, Pasukan berkuda Dungun dan sudah semestinya menjaga cue keluar masuk sepanjang pelancaran tersebut. Terdapat hampir 70 cue yang ada. tapi tak ler semua aku yang jaga. aku cuma perlu tau dan bertindak bila time aku je.
Aku takder kamera untuk diklipkan gambar kenangan kat sana untuk aku kongsikan. Memang meriah. Kehadiran lebih 25,000 pengunjung yang memenuhi padang Dewan Merdeka Dungun menggamatkan suasana sehinggakan penghadang besi terpaksa dibuka bagi membolehkan penonton masuk. Bayangkan penonton berada di sekeliling pentas. Jarak 2 kaki sahaja dari pentas. Belakang pentas pun dipenuhi penonton sehingga memaksa Anggota RELA menjerit dan menengking orang ramai supaya tidak menggangu di belakang pentas.
Lagi gamat apabila Pra Konsert yang diadakan selepas majlis pelancaran selepas keberangkatan pulang YTM pemangku Sultan Terengganu. Kehadiran beberapa artis ternama membuatkan makcik-makcik dan orang muda histeria. Mila, Amir U'Ks, Hail Amir, Amy Search, Zizan Raja Lawak, Johan Raja Lawak, Uji Rashid dan Mimi dirempuh oleh penonton apabila tamatnya konsert.
banyak lagi kisah menarik sepanjang 7 hari aku berada kat sana. Suka duka gembira lara semuanya ada. Aku citer sampai situ je. tak tau nak citer cam mana lagi. Apapun aku teruja buat benda macam ni. Inilah pengalaman kedua sebagai ASM untuk konsert besar. Dulu aku pernah jadi ASM untuk Konsert Pop Yeh Yeh yang melibatkan 50 Artis 60-an, 70-an dan 80-an. Konsert yang tu diadakan kat Stadium Melewarti Shah Alam. Projek tu jugak ada ke'gamat'annya tersendiri. Bayangkan 50 artis evergreen dalam satu konsert. Bermacam kerenah dan feel. Tapi kebanyakannya otai lama yang baik. Melalui pengalaman tu jugak ler aku gunakan untuk projek kedua ni.
(Ni berita yang aku petik dari Sinar harian -Edisi Terengganu)
Pemasyhuran penuh gemilang
DUNGUN - Penantian lebih 20,000 penduduk yang membanjiri Dataran Dewan Merdeka, di sini sejak jam 7.30 petang untuk menyaksikan detik bersejarah Bandar Dungun diisytiharkan sebagai sebuah Majlis Perbandaran terjawab, apabila majlis penyerahan watikah dilangsungkan dalam suasana meriah.Majlis gilang gemilang dan penuh istiadat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman.Acara penyerahan watikah oleh Tengku Sri Panglima Raja kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Dungun (MDD) Zainal Abidin Hussin turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin.
Sebaik acara penyerahan watikah itu berlangsung, selain gimik pelancaran yang diiringi lampu berwarna-warni, tetamu dan pengunjung dihiburkan dengan pertunjukan bunga api, persembahan tarian tradisional diikuti majlis jamuan makanan melibatkan tetamu jemputan khas.
Acara juga dihangatkan dengan kemunculan beberapa artis popular tanah air seperti Milla AF, Amir, Uji Rashid, Hail Amir, Amy Search yang menyanyikan lagu popular masing-masing.Pengunjung terhibur dengan persembahan lawak jenaka oleh pelawak kelahiran Terengganu, Zizan yang menyampaikan beberapa sketsa berlatarbelakangkan majlis tersebut.Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Zainal Abidin Hussin ketika ditemui Sinar Harian, berkata segala acara yang dirancangkan berjalan mengikut jadual.“Alhamdulillah, segalanya bermula dan berakhir dengan baik tanpa menimbulkan suasana yang boleh mencacatkan majlis dan kepada semua petugas tidak kira ppenaja, pengurusan majlis, anggota penguat kuasa, badan kerajaan termasuk orang ramai yang menghadiri majlis ini, kami mengucapkan jutaan terima kasih,” ujarnya.
Bagi seorang pengunjung yang sempat ditemui Sinar Harian, Nurfahana Zainuddin, 22, berkata dia benar-benar teruja dapat menyaksikan acara yang penuh bersejarah itu.“Selama saya tinggal di Dungun, inilah pertama kali saya berpeluang menonton acara terbesar dianjurkan yang benar-benar memberikan kesan kepada pengunjung, semoga majlis ini menjadi satu sejarah yang sukar dilupakan,” kata Nurfahana.Sementara itu Zainal berkata, sejarah perkemba-ngan Bandar Dungun dipercayai bermula setelah pembukaan lombong bijih besi oleh orang Inggeris antara tahun 50-an hingga 60-an dahulu. Ia bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan dan sebahagiannya didiami golongan pelombong bijih.Kini Dungun didiami pelbagai lapisan masyarakat dan muncul sebagai sebuah daerah yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk pusat pengajian tinggi, pusat perniagaan dan pusat industri petrokimia di Paka yang turut melonjakkan ekonomi daerah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan